PERCAYA kepada malaikat adalah
antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia
dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam
hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian
mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sesiapa
yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya.
Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah
hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."
2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Tidaklah
salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam
keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah
ia. Ya Allah sayangilah ia.'"
3. Orang yang berada di saf depan solat
berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya
Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf
depan."
4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya
Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung
saf."
5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Jika
seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah
oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan
malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."
6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Kalangan
malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di
dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."
7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Kalangan
malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba)
pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit)
dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul
lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga
solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari
tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian
meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami
tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka
pada hari kiamat.' "
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Doa
seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang
didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang
malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya
dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan
apa yang ia dapatkan.'"
9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Tidak
satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua
malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah,
berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"
10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya
Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan
sahur."
11. Orang yang sedang melawat orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Tidaklah
seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat
untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di
waktu malam hingga Subuh."
p/s: Semoga kita tergolong dalam golongan yang didoakan oleh malaikat.Insyaallah.
No comments:
Post a Comment